Prinsip perjuangan berasaskan
duniawi, fikrah al-haq
PROSES pertumbuhan keintelektualan
akademik sudah lama berlaku iaitu sejak lahirnya tamadun Islam di Andalusia dan
Cordova. Pada masa sama, berlakunya zaman kegelapan di dunia Eropah. Selepas
itu berlakulah kebangkitan rakyat Eropah yang dikenali dengan zaman
Renaissance.
Sejarah ringkas itu membuktikan
bahawa setiap daripada tamadun itu terbina adalah hasil daripada pertumbuhan
keintelektualan akademiknya. Pada ketika itu, timbullah beberapa tokoh terkenal
seperti Plato, Aristotle, Ibn Khaldun dan sebagainya. Kesan daripada
pertumbuhan itu berjaya mencorak masyarakat ke arah komuniti berilmu selaras
perkembangan politik semasa.
Sejarah keintelektualan ini
mempamerkan betapa politik memainkan peranan dalam mencorak pemikiran ilmuwan
negara. Namun, dengan keteguhan hati ulama seperti Imam Ahmad bin Hanbal dan
Imam al-Syafie, mempamerkan karektor kedudukan sebenar prinsip keilmuan.
Sebagai contoh Imam Ahmad Hanbal terpaksa berdepan dengan penjara bagi
memastikan kesucian al-Quran dan ketinggian Islam terus terpelihara. Keteguhan
prinsip itu mencerminkan betapa pentingnya pemerintah menghormati idea dan
pemikiran keintelektualan.
Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi dengan condong kepada agama yang benar dan aku bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Allah. - Surah al-Anam ayat 79
Selaras perkembangan itu, muncullah
dua kelompok intelektual Islam iaitu:
Pertama, intelek duniawi iaitu
ilmuwan yang hanya memerhatikan pandangan dunia sama ada secara zahir atau
rohani. Tertegaknya keintelektualan mereka hanyalah dengan bantuan pihak
berkuasa atau pun dengan bantuan pihak-pihak tertentu. Mereka bertindak sebagai
badan yang sentiasa mempertahankan kedudukan pemegang jawatan selaras misi dan
visi golongan tertentu tanpa menghiraukan al-haq dan al-batil dalam
merencanakan sesuatu keputusan. Jelas di sini pendirian mereka hanyalah sekadar
bertindak sebagai pelembut kepada masyarakat yang cuba mempertikai kedudukan
golongan tertentu.
Kedua, intelek spiritualisme yang
lahir hasil daripada pemahaman benar terhadap tuntutan menjaga dunia ini
daripada kejahilan. Mereka sedar dengan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi.
Namun, mereka bukannya seorang kontraktor yang mampu membina sebuah bangunan
pencakar langit yang tersergam indah sebagai mercu kemakmuran negara, tetapi
mereka adalah arkitek yang sentiasa berfikir untuk membina jiwa yang kosong
daripada hidayah Tuhan.
Dalam memperjuangkan dunia intelek
ini, mereka tidak hiraukan sesiapa pun untuk terus menyebarkan fikrah al-haqq
(pemikiran kebenaran). Kemuliaan diri mereka tidak terbina hasil daripada
pengaruh orang atasan, tetapi datangnya dari Allah SWT. Ia adalah hasil
keteguhan perjuangan mereka.
Integriti dalam dunia akademik perlu
terus dipertahankan. Ia selaras dengan prinsip untuk memastikan objektiviti
yakni sikap tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan terus dilestarikan.
Perjuangan keilmuan hanya berpaksikan kebenaran, amanah wajib dilaksanakan dan
kebenaran harus dijulang, walaupun pahit terpaksa ditelan. Oleh itu, sirah
Rasulullah SAW sudah merakamkan kejayaan Baginda bersama sahabat merentas benua
demi benua menjulang panji kebenaran. Seperti kata Hukama, “kebenaran yang
tidak bersistem akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang bersistem”.
Ketika pemerintahan Khalifah Umar
Abdul Aziz, beliau pernah berkata: “Pegawai mana saja yang menjauhi kebenaran
dan tidak beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah, tidak perlu kalian
mentaatinya. Urusannya saya serahkan kepada kalian sehingga kebenaran
dikembalikan dan ia pun tercela”. Inilah kepemimpinan yang menegakkan kebenaran
dan kepemimpinan sebegini selagi tidak bercanggah dengan kebenaran adalah harus
didukung.
Sejarah memaparkan pembuktian
bagaimana tingginya nilai keilmuan yang dipegang oleh ulama walaupun terpaksa
berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Said bin Zubair adalah contoh terbaik
untuk dijadikan teladan kepada semua intelektual dalam menegakkan kebenaran.
Beliau seorang intelektual agama daripada kalangan tabi’in. Bapa beliau ialah
Zubair bin Awwam ra. Oleh kerana beliau selalu mengeluarkan pandangan yang
bercanggah dengan pihak pemerintah, maka beliau telah ditangkap untuk menghadap
Gabenor Hajjaz bin Yusuf al-Thaqafi.
Banyak persoalan yang ditanya oleh
Hajjaz kepada Said. Namun Said berjaya menjawabnya dengan tenang. Hajjaz
menawarkan harta kepada Said, tetapi Said menolaknya dengan berkata: “Wahai
Hajjaz! Apakah faedahnya harta yang demikian itu untuk menghadapi bencana
akhirat nanti? Dengan apa pun caranya engkau menyeksa saya, nanti di akhirat
engkau akan terima balasannya dengan lebih sakit dan lebih pedih lagi.” Hajjaz
berkata lagi: “Apakah engkau tidak suka memohon keampunan saya? Saya sedia
untuk memaafkanmu”. Said dengan tegas berkata: “Lebih baik saya memohon
keampunan Allah SWT saja”.
Hajjaz begitu marah dan memerintahkan
kepada pegawainya supaya membunuh Said. Said tersenyum mendengarnya. Maka
Hajjaz berkata: “Mengapa kamu tersenyum?”. Jawab Said: “Saya hairan, mengapa
engkau berani melawan Allah SWt.” Said segera ditelentangkan dan wajahnya
menghadap ke langit. Mulut Said sentiasa terkumat-kamit menyebut nama Allah
SWT. Melihat keadaan itu, Hajjaz memerintahkan supaya Said dibalikkan menghadap
tanah.
Said segera membaca surah al-Anam
ayat 79 yang bermaksud: “Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Allah SWT
yang menciptakan langit dan bumi dengan condong kepada agama yang benar dan aku
bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Allah”.
Setelah membaca ayat iu, Said
memalingkan wajahnya ke arah kiblat. Melihat keadaan itu bertambah kuatlah
kebencian Hajjaz dan segera memerintahkan pengawal supaya memalingkan wajahnya
ke arah lain. Begitulah seterusnya sehingga leher Said dipenggal.
Sebelum dipenggal, Said sempat
berdoa: “Ya Allah! Semoga saya ini adalah orang terakhir yang dibunuh oleh
Hajjaz. Selepas hari ini, janganlah dibuka lagi kesempatan bagi Hajjaz untuk
berbuat begini terhadap hamba-Mu”. Mendengar doa Said itu, Hajjaz hanya
tertawa. Selepas satu minggu kematian Said, Hajjaz ditimpa penyakit gila dan
dia mati dalam keadaan yang mengerikan.
Sebagai rumusannya, ambillah semangat
Said untuk memartabatkan kembali dunia keintelektualan supaya nilai intelek itu
dianggap seperti mutiara di lautan bukannya seperti batu-batu pasir yang
bertaburan di serata tempat. Semangat ‘amanah terhadap ilmu’ harus terus
disuburi di setiap dada golongan intelektual agar nilai ilmu itu tidak terus
dipertikai oleh masyarakat sekeliling.
0 comments:
Catat Ulasan